Sabtu, 17 Jun 2017

Tudung Seorang Kakak

Ni cerita yang buat aku sentap.. terganggu jiwa raga aku. Selama 10 tahun aku membela kakak. dari tapak kaki sebesar 2 jari hingga lah ketinggian kakak dah sampai telinga aku.. kiranya  aku ni  kenal dah anak aku ni luar dan dalam... 
Sepanjang aku kenal dia.. aku tahu kakak ni sempoi orangnya. Pakai tudung senget ke.. color tudung tak sama dengan baju ke.. semuanya dia main belasah sahaja. Gi kedai dengan pakai Tshirt yang dah lusuh pon dia tak kisah. Gi rumah orang kawen pakai selipar jamban pon dia ok..  Malah kakak lah penyebab aku rajin wat jubah.. sebab kakak tak malu pakai jubah yang aku jahitkan. Walau aku tengok jubah tu jahitannya tak kemas.. kakak rileks aje.. Aku sendiri naik rimas, bimbang kakak ada rasa rendah diri ke malu... Tapi aku tengok kakak so cool aje. 
Ceritanya bermula malam tadi, memandangkan baju raya kakak yang aku jahitkan dah siap, kami sama-sama bongkar beg tudung pemberian adik aku si Angah.. mencari tudung yang boleh disuaipadan dengan baju raya kakak. Tudung 'segera' jenama Ariani yang adik aku bagi tu memang sesuailah dengan situasi dan perangai sempoi kakak. dan kakak pon ok aje.  Dah jumpa and tutup cerita. 
Aku lepas tu wat kemaskini almari baju aku pulak... susun dan lipat tudung aku.  Sehinggalah aku terjumpa satu tudung Instant Shawl 1 muka.. tudung ni aku beli tapi tak pernah pakai sebab macam tak kena dengan rupa aku yang tak berapa comel ni.. Dengan gelak-gelak, aku pon cubalah tudung tu.. 
Tiba-tiba, kakak bersuara, "Emak, bagilah kakak cuba tudung ni, Kakak teringinlah nak pakai tudung macam ni.." Aku pon dengan senang hati pakaikan tudung ni pada kakak.. Aku gayakan macam yang selalu aku tengok bebudak kat opis pakai. Lepas tu aku pandang muka kakak yang terbias kat cermin, Aku melihat sinar matanya bercahaya dan senyumannya manis sampai terbentuk 2 lesung pipit dia yang jarang nak timbul sebab kakak ni susah nak senyum lebar!
Masa tu aku betul-betul sentap, terasa ada sesuatu terlekat di anak tekak aku. Selama ini aku ingat kakak ni sempoi, tak sangka jauh kat sudut hati dia, rupanya ada keinginan untuk bergaya macam sepupu dan kawan-kawan baya dia. 
"Emak guna tak tudung ni? 
"Kakak nak ke?" tanya ku sambil betulkan kedudukan tudung. Pantas kakak mengangguk. 
"Ambillah, jaga elok2 sebab masa emak beli ni mahal tau" Makin lebar senyuman kakak.Terus tudung tu dia buka dan lipat elok2 dan simpan dalam laci almari dia.
Aku senyum aje bila melihat kelakuan kakak, tapi jauh kat sudut hati, moment ini menyedarkan aku, kakak yang selama ini aku anggap masih 'kecik' lagi dah besar, dan sudah ada keinginan untuk nampak cantik dan comel macam sepupu dan kawan2 dia yang lain. Maafkan emak sebab tak sedar, dan terima kasih sebab menyedarkan emak. Dan aku juga mula menyedari, sikap kakak yang suka pakai jubah yang aku buat selama ini sebab kakak nak jaga hati aku, si tukang jahit jubah yang masih lagi merangkak belajar! Aku rasa sedih dan sebak..  Terima kasih kakak,  Emak sayang kakak!

Rabu, 8 Mac 2017

Ulasan Novel Sweet Dreams by Acik Lana

Hi..
Hari  ni nak ulas novel yang baru aje aku tamatkan pembacaannya... Sweet Dreams karya terbaru Acik Lana, jugak salah seorang penulis kegemaran aku. Boleh dikatakan kalau ada novel karya Acik Lana.. memang aku akan beli. kecuali novel Perempuan Yang Paling Aku Cinta (PYAP). Haa.. novel tu memang tak ada, dan rasanya tak akan dapat aku bacalah kecuali sedikit ceritanya yang aku dapat nikmati dekat blog Acik Lana. .. ending dia tak tau apa.. sebab Acik Lana cakap kalau nak tahu kenalah beli novel tersebut! Masalahnya, masa aku cari, novel tu dah menjadi rare.. dan harganya di pasaran melampau-lampau pulak! Tak pelah.. (muka pasrah)
Ok.. berbalik pada cerita Sweet Dreams ni.. satu cerita yang santai. Cara penulisan yang agak lari dari kebiasaan. Selama berkecimpung dengan dunia novel ni, satu perkara biasa membaca novel yang mencampuradukkan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dalam satu cerita. Acik Lana pun tidak ketinggalan, tapi agak luar biasa bila mendapati perkataan yang agak panjang samada dalam Bahasa Melayu atau English, (selalunya Englishlah) telah dipendekkan dan digunapakai dalam novel ini. Contohnya "your all" telah dipendekkan menjadi "uolls". Aku terkejut jugak bila bertemu perkataan ini dalam novel karya Acik Lana. Lari dari kebiasaan seorang penulis yang ada nama besar dalam dunia novel cinta. Bolehlah untuk "mencantikkan" dan mengadakan perbezaan dari novel sebelum ini!
Berbalik pada novel Sweet Dreams.. macam yang aku tulis tadi, ini satu cerita yang santai. Kisah seorang pelukis bernama Qash Adam yang selalu mendapat mimpi tentang kejadian buruk yang bakal menimpa orang-orang yang rapat pada dia. Dan kerana kekerapan mimpi itu berlaku, menyebabkan dia semakin cekap menjangka masa bila dan dimana peristiwa itu bakal berlaku! Mimpi yang dia alami menjadikan dia berbeza dan menyebabkan dia tersingkir dari keluarga dan memburukkan keadaan, Qash Adam kini bersendirian setelah kehilangan kedua ibu bapa dia dalam kemalangan, sesuatu yang yang dia tidak pernah mendapat 'petanda' saat berlakunya kehilangan kedua orang tua dia dalam satu kemalangan kereta! Dan kerana itu, Qash Adam dipersalahkan. Tertekan walau diback up datuk yang menjaga, Qash Adam akhirnya terpaksa bergantung dengan ubat tidur bagi membolehkan dia lena!. Tidak tahan tekanan yang diterima menyebabkan dia ke Kuala Lumpur bagi membina kerjaya sebagai pelukis jalanan dan akhirnya berjaya sebagai seorang pelukis yang terkenal dan misteri hidupnya! 
Selama bertahun-tahun Qash Adam menghadkan hubungan dia dengan orang luar, membina kerjaya sendiri sebagai pelukis  tersohor, lebih dikenali dalam dunia lukisan dengan nama Q Adam, misteri hidupnya menjadikan karya Qash sangat bernilai. Hubungan Qash dengan manusia cuma terhad kepada 4 orang sahaja!. Mr Lee- agen menjual lukisan dia, Fieza- PA yang sangat mengilai dia dan satu-satunya perantara antara dia dengan dunia luar! Serta dua orang tukang cuci dan pembantu rumah yang datang untuk mengemas dan menyediakan hidangan tengahari setiap hari. Malangnya kebiasaan hidup dia tu mula "lari" bila Qash Adam kerap bermimpi melihat kejadian buruk yang bakal menimpa Puteri! Seorang perempuan yang langsung tidak dia kenali!
Namanya Puteri.. seorang perempuan yang 'clumsy". Berkerja sebagai PA seorang bos tua di sebuah syarikat penerbitan! Kerana selalu bersikap kelam kabut dan mudah 'accident', samada dengan tiang, terpelecok, jatuh longkang atau pun dinding!, Puteri menjadi mangsa umpat dan buli rakan sekerja. Bagi rakan sekerja Puteri, kehadiran Puteri lebih banyak membawa kecacatan majlis dan merosakkan reputasi syarikat.
Dan kerana itu, Puteri jadi pelik bila mendapati beberapa siri kemalangan yang boleh dikatakan "berat" tiba-tiba sahaja telah ada superhero yang menyelamatkan dia! Puteri tidak mengenali langsung superhero yang dikategori kacak tetapi sombong! Cuak dan takut, keadaan menjadi buruk bila tugasan yang diterima bagi menyelamatkan kerjaya Puteri yang terancam dek setiausaha yang seksi dan jelita bernama Melissa, yang sedang cuba mengambilalih tempat Puteri, adalah dengan cara memujuk Q Adam untuk menjadi cover majalah syarikat mereka!
Ketika sessi memujuk Q Adam,yang diadakan di rumah Qash, Puteri terkejut dan mula menyedari Qash adalah Q Adam. Dan Puteri bertambah terkejut bila menjumpai lukisan potret seorang perempuan yang berpakaian seksi dan sangat-sangat menyerupai dirinya dan ia hasil tangan Qash!
Menganggap Qash adalah stalker, mereka akhirnya kerapkali bertemu, terutama bila Qash bersetuju menjadi cover majalah penerbitan syarikat tempat Puteri berkerja.
Dianggap sebagai stalker oleh Puteri, Qash tetap bersikap melindungi Puteri dari apa jua bencana, termasuklah menyelamatkan Puteri dari menjadi mangsa pemerdagangan manusia. Papa Puteri telah menjualnya demi melangsaikan hutang dan Qash telah datang menyelamatkannya! Dengan niat untuk melindungi mereka akhirnya berkahwin walau  tanpa cinta. Perkahwinan yang penuh dengan rencah, dari kisah Puteri yang terlampau baik, dan sentiasa mempercayai orang terutama papanya walau si papa pernah hampir-hampir menjualnya sehinggalah kisah potret seksinya yang telah tular hanya kerana tersilap dihantar ke pameran lukisan, dan lebih haru potret itu telah dicuri, hubungan Qash dan Puteri terus mekar dengan kasih sayang. Dan tanpa Puteri sedar, dia telah mengubah hidup Qash! Menukar diri Qash menjadi lelaki yang penuh dengan rasa kasih dan cinta.
Best cerita ni, bahasa santai dan pengakhiran yang tidak terduga. Suspek yang mencuri lukisan tu mula-mula memang aku jangka sama seperti yang Qash tuduh, rupanya tersasar! Hish, pandai Acik Lana ni tau! Apa-apa pun tahniah untuk Acik Lana untuk sebuah novel yang best.! dan juga bakal bertukar status iye.. Selamat Hari Wanita !

Rabu, 1 Mac 2017

Ulasan Novel Sentuhan Kecundang by Hani Fazuha

Hi..

Hari ni nak cerita sikit pasal novel Hani Fazuha. Ni salah seorang penulis yang menjadi kegemaran aku. Banyak jugak novel hasil tulisan dia yang aku miliki. Ada yang limited edition punya... huhuhu
Ok.. Novel yang aku nak ulas ni bertajuk Sentuhan Kencundang. Pun Limited Edition..
Novel ini mengisahkan tentang Farah Arlina yang tiba-tiba dibawa pulang ke rumah keluarga Hafif  Hudzairi dan diakui sebagai isteri. Kehadiran Arlina ini ada pro dan kontranya. Antaranya ialah..
1. Arlina diterima baik oleh mentua.. si ibu Hafif yang berlapang dada menerima Arlina dan bapa mentua yang diam dan mengharapkan si anak keduanya ini pandai mengemudi rumahtangga sendiri tanpa campur tangan dari keluarga 
2. Si Abang sulung bernama Zarief Amzar yang pendiam dan lebih banyak bermuka serius. Berkerja sebagai Arkitek dan memiliki firma sendiri. Hidupnya nampak mewah dan Arlina nampaknya 'gerun' dengan sikap si Along ini, pandangan matanya yang penuh dengan rasa "sesuatu" pada setiapkali memandang Arlina.
3. Si adik ipar perempuan iaitu Haleeda dan Suzie yang kurang senang dengan Arlina kerana asal keturunan Arlina tidak diketahui.
Dan peliknya Arlina sentiasa tenang menghadapi situasi serba tak kena itu. Dugaan rumahtangga mula melanda bila Hafif mengikut Zarief ke Kuala Lumpur dengan alasan mencari kerja dan akhirnya meninggalkan Arlina pada keluarga dia untuk dijaga dengan janji suatu masa nanti dia akan pulang menjemput Arlina.
Masa berlalu, hampir 6 bulan ditinggal, Arlina sangat bertabah menahan asakan dan cemuhan dari adik ipar. Dalam masa sama menjadi kesayangan ibu mentua. Semua itu diperhati Zarief dengan berbagai persoalan dan pertanyaan tentang siapa Arlina sebenarnya. 
Tidak tahan menahan hati, akhirnya Arlina mencari Hafif di Kuala Lumpur, bersama Zarief yang diarahkan oleh si ibu mentua untuk menjaganya. Pertemuan dengan Hafif terus menutup pintu hati Arlina untuk meneruskan perkahwinan mereka. Akhirnya perkahwinan itu runtuh. Hati Arlina bulat meminta perpisahan tetapi hati Hafif luluh ketika melafazkan talak. Walaubagaimanapun, Arlina diminta untuk menetap di rumah keluarga Hafif sehingga habis iddah.
Lagi beberapa hari iddah habis, Arlina akhirnya mengambil keputusan untuk pergi setelah tidak tahan menerima asakan dan penghinaan dari dua bekas adik ipar perempuannya. Saat ingin pergi, Arlina terkejut bila menerima lamaran dari Zarief. Tergamam dan terkejut, bila Si Along yang selama ini adalah bekas abang iparnya  ingin menaik taraf hubungan mereka menjadi suami isteri. Memohon diberi  masa, akhirnya Arlina pergi sambil diiringi dengan air mata si ibu mentua.
Dan kembalinya Arlina ke Kuala Lumpur, membuka lembaran sejarah hidup Arlina, siapa dia yang sebenarnya. Arlina rupanya anak orang berada, mempunyai syarikat sendiri yang diwarisi dari arwah bapanya yang bergelar Tan Sri. Syarikat itu yang kini dijaga oleh seorang proksi yang sangat amanah dan melindungi Arlina dari gangguan  bapa dan abang tiri. Ibu Arlina berkahwin dengan kawan baik arwah bapanya yang mempunyai dua orang anak tiri. Dan sedang merencanakan masa depan Arlina, berhajat menyatukan Arlina dengan abang tirinya bernama Megat bagi memboleh Megat masuk dan mempunyai kuasa di dalam Syarikat yang saham terbesarnya dipegang oleh Arlina.
Dan Arlina akhirnya mengetahui, perkahwinan yang diatur itu adalah satu rancangan yang diatur oleh bapa tirinya dan Megat bagi membolehkan mereka menguasai harta peninggalan arwah bapa Arlina. Berjaya mengelak dan melarikan diri dari Megat, dengan menyambung belajar di Australia, telah menemukan Arlina dengan Hafif yang ketika itu sedang melanjutkan pelajaran di sana.
Hafif di anggap sebagai hero, mereka berkahwin dan bersama Hafif,  Arlina berubah ke arah hidup yang lebih islamik.  Namun ada sesuatu tentang Hafif  yang Arlina rahsiakan. Walau cinta Hafif padanya menggunung, Hafif ada kekurangan sebagai suami. Itu yang membawa kepada patahnya cinta Arlina, kekurangan yang sukar untuk Hafif tinggalkan.
Kini setelah kembali ke Kuala Lumpur, Arlina sibuk menguruskan syarikat dibantu oleh proksinya, Dato Izhar sambil menyambung pelajaran yang tergendala separuh jalan kerana mengikut Hafif pulang ke Malaysia.
Urusan perniagaan menemukan Arlina dengan Zarief yang terkejut setelah mengetahui latar belakang Arlina. Penerimaan Zarief juga  dingin dan beku, lebih-lebih lagi bila Arlina mempergunakan Zarief untuk berlakon sebagai suaminya di hadapan ibu Arlina sendiri. Itu semua bagi mengelakkan Arlina daripada berkahwin dengan Megat!
Dan hidup Arlina menjadi rumit bila dia akhirnya ditangkap khalwat dengan Zarief, dan pada masa yang sama Hafif telah kembali, menuntut janji seorang Arlina jika Hafif berjaya mengubah dan membuang kekurangannya itu.
Tersepit.. dan apa keputusan Arlina iye? Berkahwin dengan Zarief yang kini menjadi lelaki yang dingin dan beku? Atau kembali pada Hafif? Haah.. nak tahu kenalah beli novelnya. 
Aku memang minatlah dengan gaya penulisan Hani Fazuha ni. Santai dan menghiburkan. Satu perkara yang aku sedari, Hani Fazuha ni gemar sungguh menggunakan nama Hudzairi untuk watak ciptaannya dalam  novel yang dia tulis. Ada apa2 ke? Huhuhu..