Ahad, 30 Oktober 2016

Bab 5: Sapu Tangan Dari Saim

Pulang dari Sekolah, Naurah terus membantu Ngah Siah membersihkan ibu, penuh hati-hati dia mengelap tubuh ibu, kulit tubuh ibu yang kusam di bersihkan dengan lembut dan penuh kasih sayang. Hanya ibu sahaja yang Naurah Hana ada, ibu yang sangat dikasihi walau hanya terbaring kaku di dalam bilik.
"Anak ibu dah makan?" suara ibu lembut menyapa telinga. Naurah senyum, senang sungguh hati dia mendengar suara ibu yang lembut. Jarang sungguh ibu berkata-kata dengannya, selalunya perkataan yang keluar dari mulut ibu cuma pertanyaan tentang bapak, suaminya yang kini semakin jauh dari hidup mereka.
"Dah ibu" hanya dua patah perkataan tapi ia diiringi dengan leretan senyuman dan pandangan mata yang penuh dengan kasih sayang. Tanpa disuruh, Naurah segera mengangkat tangan ibu yang terkulai dan dilekapkan ke pipinya. Rindu sungguh Naurah dengan ibu.
"Dah besar anak ibu rupanya. Maafkan ibu kerana tidak mampu mengasuh Naurah. Semoga kuat dan tabah iye nak, Kalaulah ibu mampu.."luluh hati Naurah mendengar kata-kata yang terkeluar dari mulut ibu, cepat-cepat kepalanya digeleng, dia tak mampu mengeluarkan kata-kata, segala-galanya tersekat ditekak. Airmatanya menitis dan tanpa dapat ditahan-tahan, Naurah segera menyembamkan tubuhnya ke dada ibu, tangisannya  mula berlagu, lagu sedih dan penuh kesal yang tidak mampu diluahkan kepada sesapa. Dia mengharapkan seseorang mendengar suara hati dia, rasa resah pada kehidupan remajanya yang nampaknya tidak memihak kepada dia. Ingin sangat dia bercerita kisah gangguan yang diterima dari Pojie, betapa takutnya dia pagi tadi dengan perangai Pojie dan Jali.
"Biarlah airmata itu keluar sayang! Jangan ditahan-tahan, ibu ada" suara ibu perlahan dan dalam, Jauh disudut hati Khatijah Yong, dia teringin sangat nak mengusap lembut rambut hitam dan panjang milik Naurah, ingin sangat dia memeluk tubuh anak perempuannya itu, tapi dia sedar, keadaan dia yang lumpuh seluruh badan, menyekat hasrat hatinya itu, dia sendiri tidak tahu kenapa sebaik sahaja dia melahirkan Naurah, dia terus ditimpa sakit sebegini. Lumpuh dan kaku seluruh badan, hanya kepala sahaja yang mampu dia gerakkan. Ya Allah, Lindungi kami dan  permudahkanlah urusan aku dan anakku di dunia ini, doanya saban hari.
Tangisan Naurah telah reda, dapat Khatijah Yong rasakan tarikan nafas Naurah yang terasa payah, Dan dari sudut pandangan matanya, Khatijah Yong melihat mata sepet anaknya yang terpejam rapat. Tidur rupanya Naurah. Dibiarkan sahaja posisi tubuh Naurah yang tersembam dan memeluk tubuh kaku dia di atas tilam.
Tiba-tiba Khatijah Yong rasa rindu, rindu kepada suaminya, Yusuf Mahzan, Lama benar dia tidak melihat kelibat suaminya itu di dalam rumah ini. Terasa jauh sungguh hati dia, jika dahulu, sanggup Yusuf Mahzan berjuang mempertahankan cinta mereka, tegar melawan kehendak keluarga dan berdepan kemarahan ayahnya, Tuan Wang Yong, peraih susu getah yang boleh dikatakan kaya cuma berbeza bangsa dan agama.Apa taknya, satu-satunya anak perempuan keluarga Wang Yong, telah berpaling tadah semata-mata kerana cinta. Terlupa terus Khatijah Yong pada keluarga dia dan kesan yang timbul hasil tindakan dia dan Yusuf Mahzan. Pujuk rayu Yusuf Mahzan, menyebabkan dia rela mengikut kehendak lelaki itu, menukar agama dan akhirnya berkahwin kerana yakin cinta mereka suci dan agung. Dan akibatnya, Khatijah Yong terus dibuang keluarga, marah dengan tindakan si anak perempuan yang dikira telah menconteng nama baiknya, Tuan Wang Yong akhirnya memadam terus nama Khatijah Yong dari salsilah keluarga, bukan itu sahaja, seluruh ahli keluarga Tuan Wang Yong turut keluar dari kampung ini, meninggalkan Khatijah Yong sendirian.
Dan benarlah cinta itu buta, melayari bahtera hidup bersama Yusuf Mahzan, Khatijah Yong akhirnya menyedari lelaki yang dia kenali sebagai seorang pengurus Kilang Sawit ini bukan sahaja berjawatan, tetapi sebenarnya adalah pemilik kilang sawit itu, bukan sahaja bakal mewarisi harta dan tanah yang banyak tetapi juga memiliki seorang tunang yang diikat sedari kecil bagi mengelakkan harta itu jatuh ke tangan orang lain.
Terpempan dan terkejut dengan apa yang diketahui, bermulalah kehidupannya yang penuh dengan air mata. Khatijah Yong tidak diterima dalam keluarga Yusuf Mahzan, Seringkali bangsa dan keturunan dia disebut-sebut dan dihina, dipandang jijik oleh keluarga Yusuf Mahzan, lebih-lebih lagi oleh ibu mertuanya, Puan Sapura.  Tidak lama kemudian Khatijah Yong mengandung, sepatutnya berita itu menjadi berita gembira, tapi percayalah hanya Yusuf Mahzan dan Khatijah Yong sahaja yang meraikan berita itu dengan sujud syukur. Sepanjang kehamilannya,   kesihatan Khatijah Yong mula merosot, bermacam masalah mula menimpa wanita ini, Khatijah Yong tidak mampu untuk berdiri dan hanya mampu terbaring sepanjang tempoh kehamilan. Ketika itu, bertebaran khabar angin yang mengatakan anak yang dikandung oleh Khatijah Yong ini pembawa sial dan malang, lebih-lebih lagi, ketika itu kegawatan ekonomi mula melanda, dan kilang sawit yang diuruskan oleh Yusuf Mahzan mula dilanda masalah. Kasihan melihat isteri yang tertekan dan demi kebaikan keluarga kecil ini, Yusuf Mahzan berpindah duduk di rumah kayu berekabentuk kampung dan comel,  yang dibina dengan duitnya sendiri, di dalam kebun getah, jauh dari pandangan penduduk dan keluarganya, agar isterinya tidak mendengar umpat keji dan caci maki yang dihamburkan.
Tapi rupanya dugaan mula melanda, ketidakmampuan Khatijah Yong menguruskan rumahtangga dijadikan alasan oleh keluarga mentuanya untuk memujuk Yusuf Mahzan berkahwin dengan tunangnya sejak kecil. Pada mulanya Yusuf Mahzan enggan, tapi tekanan dari kelurga dan ditambah dengan desakan dan pujuk rayu tunang, akhirnya dia akur. Dengan  segala janji bahawa cinta mereka tetap utuh, Khatijah Yong akhirnya merelakan suaminya dikongsi dengan seorang wanita lain, Pada mulanya Yusuf Mahzan dapat melaksanakan tanggungjawab beristeri dua ini dengan adil, Khatijah Yong tidak merasakan kekurangan layanan, jika bukan giliran dia, Yusuf Mahzan menitipkan Ngah Siah, salah seorang pembantu keluarganya untuk menjaga Khatijah Yong.
Dan bila Naurah Hana lahir, keadaan kesihatan Khatijah Yong juga semakin merosot, dia lumpuh sepenuhnya, hanya mampu mengangkat kepala sahaja. Kaki dan tangannya turut kaku dan beku, berat seumpama batu. Segala urusan menjaga anak dan dirinya diserahkan kepada Ngah Siah. Semakin lama, Yusuf Mahzan semakin jarang kelihatan, mungkin kerana ketidakmampuan dia memberi layanan zahir dan batin kepada Yusuf Mahzan menyebabkan jurang kasih semakin lebar dan cinta mereka semakin pudar. Dan kini, Khatijah Yong sedar, cinta Yusuf Mahzan telah sirna, hilang kepada Siti Zaila, isteri barunya yang juga tunangnya sejak kecil, yang lebih disayangi dan dialu-alukan kehadirannya dalam keluarga Yusuf Mahzan, lebih-lebih lagi Siti Mariam telah memberikan anak-anak untuk menjadi penyeri dalam keluarga mereka. empat orang anak. Satu tanggungjawab yang besar tergalas dibahu Yusuf Mahzan hingga dia lupa pada Khatijah Yong. Dan Khatijah Yong sedar kini, rasa yang ada dihati Yusuf Mahzan cumalah  rasa kasihan dan tanggungjawab. Bukan lagi cinta, untuk membuang dia dalam hidup Yusuf Mahzan, adalah mustahil kerana Yusuf Mahzan lah yang telah menyebabkan Khatijah Yong dibuang keluarga, hendak tak hendak Yusuf perlu 'menyimpan' Khatijah Yong, Rela dalam terpaksa.
Perlahan-lahan airmata luruh dari pipi Khatijah Yong, Sebak dan kesal menghantui diri, Tertanya-tanya dalam hatinya, adakah ini khilaf dia, meninggalkan keluarga atau dalam erti kata menderhaka kerana cinta. Tetapi dia bukan membuang mereka, dia diberi Taufik dan Hidayah untuk memeluk agama islam dan Yusuf Mahzan cuma penguat semangatnya. Itu sahaja, jauh dilubuk hati yang paling dalam, kasih dan sayangnya pada papanya, Tuan Wang Yong dan adik-adiknya tidak pernah berubah. Malah semakin hari dia semakin rindu. Ingin sangat dia menunjukkan Naurah Hana, zuriatnya kepada keluarga Tuan Wang Yong. Dia mahu Naurah Hana mengetahui susur galur keluarga mereka, lebih-lebih lagi dia mengetahui yang anak perempuan nya ini tidak diterima dalam keluarga suaminya.
Dan dia yakin Yusuf Mahzan juga tidak mengasihi anak perempuannya itu. Dia tahu melalui perbualan antara Naurah dan Yusuf Mahzan lewat kelmarin dulu. Aduan yang terlontar dari bibir mungil Naurah Hana, gangguan yang diterima dari Pojie diadukan pada Yusuf Mahzan, Hati Khatijah berdebar-debar memikirkan keselamatan anak perempuannya itu. Tapi dia hampa bila mendengar jawapan suaminya, Satu kata-kata sinis menolak aduan si anak dan tidak percaya akan cerita buruk anak saudara belah isteri barunya itu. 
'Ya Allah, lindungi anakku dari manusia berhati iblis' doanya saban waktu. Khatijah Yong tahu Ngah Siah juga nampak bimbang, kerana itu, seringkali dia menyuruh Ngah Siah menunggu Naurah di hujung jalan, mengiringi langkah kaki si anak perempuannya sehingga jejak di pintu rumah! Tapi kudrat seorang perempuan tua bukanlah sekuat mana, kerana itu Khatijah Yong mengharapkan keajaiban, Semoga Allah menghantar seseorang yang mereka percayai untuk melindungi Naurah Hana, tapi rasanya permintaannya itu mustahil. Sangat-sangat mustahil. Kerana  Khatijah Yong tahu, rumah kampung di dalam kebun getah dan terletak jauh dari pandangan di hujung kampung, menyebabkan mereka terpisah dari dunia luar. Mereka tidak memiliki jiran, sebab ketika rumah ini dibuat, Yusuf Mahzan berjanji melindungi keluarga mereka dari gangguan manusia! Yusuf Mahzan telah membina satu dunia untuk mereka, dunia yang kononnya selamat kerana Yusuf Mahzan ada. Tapi itu cerita dahulu, saat hidupnya manis dan berbau wangi!
Luruh lagi airmatanya, matanya tunak merenung wajah anak, yang sedang lena tidur di atas dadanya. wajah anak yang banyak mewaris irasnya, sepasang mata bundar yang sepet kelopak mata, kulit putih gebu, bibir ulas penuh tetapi berhidung mancung, yang diwarisi dari Yusuf Mahzan. 
Khatijah Yong berusaha mengangkat tangan kanannya, teringin sungguh dia untuk mengusap dan memeluk anaknya itu, Berat sungguh tangan dia, seberapa daya dia berusaha, peluh mula merinik di dahi. Tapi dia cuba, dia akan cuba, mesti cuba kerana dia ingin Naurah tahu yang dia akan melindungi Naurah Hana, satu-satunya anak perempuan nya ini dari segala merbahaya di dunia ini. 
Dan di balik dinding bilik, Ngah Siah memandang usaha Khatijah Yong dengan linangan air mata, walau tanpa sepatah kata, Ngah Siah tahu, apa yang tersurat dan tersirat di dalam hati Khatijah Yong. Terlalu lama mereka bersama, mengharungi hidup di rumah kampung comel di dalam kebun getah ini. Jika dahulu, Ngah Siah hadir cuma sebagai pembantu, yang dihantar oleh Puan Sapura dan dalam masa yang sama memainkan peranan memporak perandakan kehidupan keluarga ini, Ngah Siah tahu kenapa Khatijah Yong jadi begini! Ditimpa sakit lumpuh, kaki dan tangan beku dan kaku. Dia tahu kenapa dan siapa yang membuatnya. Bila hati dipenuhi dengan dendam dan amarah, lupa pada takdir yang telah tertulis sebelum manusia itu sendiri lahir,  manusia akan sanggup berbuat apa sahaja termasuklah bersekutu dengan syaitan, itulah yang telah menimpa Khatijah Yong, Marah dengan perbuatan Yusuf Mahzan yang sanggup membelakangkan keluarga, geram kerana Khatijah Yong lah penyebab hubungan dua keluarga berantakan, keluarga mentua Khatijah Yong sanggup menggunakan cara halus memusnahkan rasa cinta yang tersemai di dalam jiwa suami isteri ini, Kesudahannya seperti yang dia lihat kini. Rasa kesal menggunung apabila melihat penderitaan Khatijah Yong dan kini derita itu turut diwarisi oleh Naurah Hana, anak perempuan Khatijah Yong dan Yusuf Mahzan yang telah dianggap sebagai cucu sendiri. Rasa kesal mengunung kerana menyedari dia adalah salah seorang yang menyebabkan penderitaan kepada Khatijah Yong. Ngah Siah rasa berdosa, lebih-lebih lagi pada keluarga kecil itulah dia menumpang kasih kini, setelah kudratnya tidak lagi diperlukan oleh Puan Sapura kerana faktor usia.  Dahulu dia membenci Khatijah Yong kerana dihasut oleh Puan Sapura,  Tapi kuasa Allah, demi masa, segala -galanya berubah! Kini, rasa sayang dan kasihan yang dititipkan dihati mengatasi segalanya.
Dan Ngah Siah mula menyedari, betapa kuatnya cara halus yang telah digunakan oleh Puan Sapura, hingga kini khadam-khadam yang digunakan sentiasa bergentayangan di dalam rumah ni. Ngah Siah tahu mereka selalu diperhatikan. Kelibat-kelibat yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar tetapi dapat dirasai kehadirannya selalu kelihatan keluar masuk di dalam bilik tempat Khatijah Yong terbaring kaku! Ya Allah, Ampuni dosa aku, lindungi Khatijah Yong dan Naurah Hana, doanya selalu. Doa yang selalu dititipkan saat selesainya solat fardhu dan solat sunat yang dibuatnya. Cuma kini, nalurinya seakan terdetik, salah satu dari khadam itu seolah-olah datang untuk melindungi mereka, Ngah Siah pernah melihat, kelibat seorang lelaki berupa paras menarik kelihatan memandang wajah Khatijah Yong dengan pandangan sedih dan kesal, seperti dia. Apakah doa dia makbul? jauh disudut hati, mudah-mudahan Allah membalikkan hati salah seorang khadam itu untuk memihak kepada keluarga kecil ini sepertimana hatinya kini. Dan Ngah Siah tahu, tiada yang mustahil. Kun Fa Ya Kun, kerana itulah janji Allah. 





Sabtu, 29 Oktober 2016

Ulasan Novel Rooftop by Farrah Izzlorna...

Aku tertarik dengan novel ini setelah dicadangkan oleh Anna Lee.. penulis kegemaran aku.. yang paham minat aku pada bacaan bergenre macam ni .. huhuhuhu..
Dah pon membaca 4 bab pertama dalam wattpad.. rasa tak puas, so aku minta bantuan Sis Ogyejaz untuk mendapatkan buku ini secepat mungkin.. Chaiyokk ler kak Ogyejaz.. cepat dan tepat giteww.. thanks sis!
Secara jujur... cerita ni lain dari lain! Manusia boleh berkomunikasi dengan roh!... Sebenarnya, aku pun ada keinginan nak alami situasi macam Aya ni, tapi aku ngeri pulak.. kalau roh yang handsome dan jambu macam pelakon korea tu boleh lah jugak kan.. Tapi kalau sebaliknya? Matilah hakak!
Tapi aku tabik dengan Aya... tak takut langsung dia dengan keadaan  K. Muka bengkak dengan mata kiri yang sepet dan bengkak dan hampir tertutup, serta bibir dan mulut yang pecah. Kulit lengan yang kebiru-biruan, baju yang koyak rabak dan lusuh..  K datang dalam hidup Aya bila mereka terjumpa di rooftop, rumah pangsa 14 tingkat tempat Aya duduk menyewa bersama-sama kekawan seuniversiti.. Lupa lak, Aya ni budak U, ambik course Law dan dalam masa yang sama bercita-cita menjadi penulis novel. Tapi malangnya dah 3 kali manuskrip dia ditolak oleh syarikat penerbitan, kecewa dan hampa menyebabkan Aya naik ke rooftop untuk menenangkan fikiran dan ketika itulah dia berjumpa K yang Aya percayai adalah roh orang yang telah mati dalam keadaan menderita.
Sebab apa dikata macam tu, sentuhan ke tubuh K, walaupun cuma libasan angin akan menyebabkan Aya moody, sedih dan mengalirkan airmata!
Pada aku, bab Aya dan K sepanjang bab 1 hingga 24 memang kelakar! Aya dikatakan  mengalami tekanan perasaan oleh kekawan serumah dan seuniversiti kerana sering dilihat bercakap sorang-sorang, walaupan Aya berusaha coverline dengan sentiasa memasang earphone kat teling, konon-kononya dia sedang berinteraksi dengan seseorang di handphone, sedangkan semua kawan-kawan Aya tahu yang dia seorang gadis yang suka bersendirian!
Bersama K, Aya meneroka dunia secara bebas, belajar menari dengan K, pandai berlakon, contohnya bila disergah oleh K di kedai buku, Aya yang menjerit terpaksa menerangkan dia teruja bila menjumpai buku idaman hati kepada jurujual yang menegur kenapa Aya menjerit. Aku tak tahan gelak..
Mereka bersama ke mana sahaja, Walau pada mulanya Aya tak rela si K asyik menempel dengan dia.. akhirnya Aya seronok kerana selain dari dia dapat kawan, K juga membantu untuk dia menghadapi keadaan di reject oleh Fikri, si crush yang Aya minat dari tingkatan 1 lagi.. Siap buat buku sebagai tanda cinta pada Fikri.. Oh ya, novel karya Aya tu dapat diterbitkan dan Aya sangat berterima kasih pada K yang membantu dia dalam membuat novel cinta untuk Fikri. Dan paling mengejutkan, kerana K, hubungan Aya dengan di Andrian yang selama ini berantakan, Andrian, si abang tiri Aya akhirnya menjadi baik dan mesra hanya kerana Andrian juga mampu melihat K, kata Aya, kalau orang tak tau kelebihan Andrian yang boleh melihat hantu, mesti Andrian tergolong dalam senarai bakal doktor yang kacak!
Dan tanpa diduga, mereka, Aya dan K saling jatuh cinta! Aya yang berusaha untuk menafikan perasaan sendiri kerana dia sentiasa percaya dengan realiti, cinta itu sepatutnya tidak wujud untuk hantu atau roh! Dan K, yang terang-terang menunjukkan perasaan cintanya, dengan sikap penyayang, ambil berat, perihatin dan melindungi, paling ketara, sikap cemburu pada lelaki disamping Aya, pada Fikri dan kawan-kawan satu course Aya! So, sweet... huhuhu
Kesudahan cerita ini sangat-sangat mengejutkan, Siapa K yang sebenarnya.. semuanya terjawab. Walaupun kisah Aya dan K ini berlanjutan hampir 3 tahun, tapi akhirnya semua perkara yang menjadi tanya tanya telah terdedah.
Walau cerita ni kesudahan nya tak menggembirakan aku, sebenarnya aku rasa macam novel tu perlu dipanjangkan lagi kisahnya.. err, sebenarnya tak puashati sebab baca novel ni macam pendek aje ceritanya... maknanya apa tu? Maknanya cerita Rooftop ni best. Aku bagi 5 bintang! Terima kasih pada penulis yang berjaya melahirkan cerita yang lain dari lain. Pada yang berminat, carilah Rooftop di Prolog Media..

"Sesungguhnya Kebaikkan Juga Boleh Membunuh!..  Adam Khaleef

Isnin, 24 Oktober 2016

Nilai Kasih Seorang Anak..

Aku sedang 'tersentuh' sekarang..
Ada rasa sedih dan terbuku di hati, dan ingatan aku kuat pada emak aku.. seorang perempuan yang paling aku sayang..
Hari ni , macam biasa aku memang ada kerja tetap, menjengah kekawan di bank yang terletak kat depan pejabat aku, biasalah... tugas seorang kerani kaunter, membank in kan pendapatan yang diterima sebelum akaun urusniaga di tutup. Dan macam biasa, muka sejukbeku aku pamerkan, mood malas nak tegur orang, kononnya lah, sebenarnya aku geram pada diri sendiri sebab sudah terlupa nak bawak hp, bukan sahaja hp tertinggal, novel yang selalunya aku baca sambil menunggu nombor giliran aku dipanggil pon dah tertinggal, tak dapatlah aku berangan, oh ya hp tu bukan nak melayari internet iye kekawan, aku bukannya gila hp, tak de pon tak pe, yang aku gilakan ialah games yang aku downloadkan dalam hp aku tu.. game 'fruits tiles' huhuhu..
So, nak mengubat hati yang lara, cewaahh, aku pon mulalah dok perhati kan orang disekeliling aku yang turut ada urusan di kaunter, aku duduk dikerusi tengah  yang diapit oleh seorang perempuan tua di sebelah kiri dan kanan aku seorang wanita yang rasanya sebaya aku dan sedang leka dengan hpnya.
Bila satu nombor giliran dipanggil, tetiba perempuan muda disebelah kanan aku bersuara, "Emak, no emak dah dipanggil tu, cepatlah bangun gi kat kaunter" gesa dia dengan suara kuat. Aku pon tolehlah perempuan tu, sapa pulak emak dia ni? dalam hati dah tertanya-tanya.
Perlahan-lahan perempuan tua sebelah kiri aku bangun, menyeret kaki ke kaunter, Lorr.. emak dia ke? Sampai aje perempuan tua tu ke kaunter, wanita muda yang kat sebelah aku, bangun dan terus keluar, Lahhh.. dia tinggalkan emak dia macam tu aje, berurusan sorang-sorang kat kaunter, Nasib baik si Ema, budak kaunter tu baik melayan. Tersentak aku. Tetiba ada satu 'rasa' tertusuk dihati.
Kalaulah perempuan tua tu emak aku.. kalaulah emak aku, hisshhhh... aku mengaku aku ni memang tukang sibuk, Kalau ada urusan yang melibatkan emak, aku memang busybody, tukang sibuk, tukang tanya dan tukang seret emak..
Emak citer pasal derma wakaf, akulah tukang cari info, isi borang semua sekali nama kaum kerabat emak untuk buat derma wakaf, asalkan hati emak senang, kwsp.. emak susah hati tak de penama, aku tukang bawak.. asalkan hati emak senang, dan aku sangat-sangat-sangat susah hati  untuk melepaskan emak gi umrah sorang diri, doa aku mengiringi langkah kaki emak, hati aku berat masa melihat emak gi umrah.. sebab aku tahu tak de tukang sibuk melayan emak, dan kaki emak pon tak kuat sangat. Tapi bulat hati aku berdoa, aku serahkan emak pada jagaan Allah.. semoga emak selamat pergi dan selamat balik. Alhamdulillah.. selamat pon emak pulang ke pangkuan aku.. Legaa sangat aku.
Itulah, tak tau nak cakap apa.. nilai kasih aku pada emak, tak de harganya, sangat mahal, segala cinta untuk emak asalkan emak gembira, sebak aku bila melihat perempuan tua tu terkial-kial buat segalanya seorang, sementara perempuan muda yang memanggil dirinya emak hanya pandang dari jauh! Aduh.. sebaknya aku! Hilang terus mood aku nak senyum lebar... tetiba aku jadi rindu pada emak. Hadiah untuk emak Al Fatihah.. semoga emak gembira hari ni.. senang hati ! Aku tahu sebab kami sentiasa berbalas mesej.. Alhamdulillah!