Selasa, 1 November 2016

Bab 6 : Sapu Tangan Dari Saim

Tangisan Naurah yang kedengaran di telinga meruntun hati Saim. Bulat matanya merenung ke arah dua beranak yang sedang terbaring kaku di dalam bilik tidur ini. Ringan tangannya hendak diangkat untuk memaut bahu Naurah bagi memujuknya. Tapi hatinya menahan, 'Sabar Saim, sabar! Jangan diturut rasa hati nanti binasa badan' Terngiang-ngiang suara Lang Merah di telinganya.
Dari sepanjang tengahari tadi, sekembalinya Naurah Hana dari sekolah, Saim mengekorinya. Dengan niat untuk melindungi Naurah dari gangguan Pojie dan Jali. Mujurlah tadi Lang Merah membantunya, Dalam diam dan tanpa Saim sedari, sahabat sedarah dengannya itu telah melakukan kerosakan kecil pada motorsikal kedua-dua makhluk tuhan itu. Bagi Saim kecil tapi bagi Pojie dan Jali, sangat besar. Kedua-duanya terpaksa menapak sambil menolak motorsikal masing-masing yang tetiba jammed kerana enjinnya tidak boleh dihidupkan. Sehingga kejauhan Saim mendengar mulut Pojie dan Jali menyumpah seranah ntah apa-apa. Padan muka kau! getus hati Saim. Dan dia sangat-sangat berterima kasih pada Lang Merah atas perbuatan khianat itu. 
Dan kini, Saim hanya berdiri kaku memerhatikan dua beranak ini, Mujur ada hijab yang melindungi dia dari pandangan mata manusia, tapi Saim tahu dan sedar, kehadiran dia dirasai oleh Ngah Siah, wanita tua yang membantu Khatijah Yong dan mengasuh  Naurah Hana. Dan perkara itu tidak boleh dielakkan kerana selama ini, Ngah Siah lah yang menyeru Saim datang untuk menambah 'rencah ' kepada sihir yang telah dibuat bagi melemahkan kekuatan tubuh badan Khatijah Yong! Tanpa Ngah Siah sedari, mentera yang diajarkan oleh Puan Sapura, ketika dia membantu meletakkan bahan-bahan sihir ke dalam masakan atau minuman Khatijah Yong, atau saat dia menabur serbuk sihir keliling rumah kampung itu, suatu masa dahulu, Saimlah yang turut membantunya. Tapi itu cerita dahulu, cerita yang cuba Saim lupakan. Namun Saim gagal, sehingga kini Saim tidak pernah melupakan saat menyaksikan penderitaan Khatijah Yong ketika melahirkan zuriatnya. Berhari-hari Khatijah Yong menanggung derita apabila bayi yang sepatutnya dapat dilahirkan gagal dikeluarkan, seolah-olah ada tangan ghaib yang menahan. Rintihan kesakitan diselangseli dengan suara ratipan dari mulut Khatijah Yong, menyerah diri kepada Allah, redha hati dengan nasib diri, telah menyedarkan Saim. Saat itu hati Saim telah dijentik oleh rasa belas kasihan! Kerana itulah, Saim mencari Pak Tua, Penghulu Bunian bagi membantu Khatijah Yong. Tidak mudah untuk Saim mendapat kepercayaan Pak Tua, lebih-lebih lagi kerana mereka berlainan puak! Malah berlainan kepercayaan! 
Saim terpaksa berjanji menerima hukuman dan menyerahkan dirinya untuk diadili oleh Pak Tua atas perbuatannya mengkhianati dan mencemar nama baik puak Bunian. Saim rela menerima hukuman, patuh dan akur  pada arahan puak Pak Tua. Bukan itu sahaja, Saim akhirnya mengikat janji untuk tidak menghampiri atau mendekatkan diri kepada makhluk bernama manusia bagi mengelakkan dia membuat kerosakan. Dan perasaan bersalah yang menyelubungi hati menyebabkan Saim turut mengubah kepercayaan! Dia akhirnya menganut agama Muhammad SAW!
Bantuan yang diberikan oleh Pak Tua, membolehkan Khatijah Yong  berjaya melahirkan Naurah Hana. Saat Saim melihat kecomelan dan kebersihan tubuh badan bayi itu, hatinya terpaut. Saim dapat merasakan hatinya penuh dengan rasa sayang dan kasih pada Naurah Hana. Dan dia terus berjanji untuk melindungi dan menjaga bayi comel itu. Sejak itu, Saim kerap bertandang ke rumah Khatijah Yong, bukan kerana diseru tetapi untuk  melihat Naurah Hana membesar. Kekadang, Saim akan merosakkan sihir yang dihantar, nasib baik sekutu jahat yang diseru adalah Lang Merah, saudara sedarahnya. Walaupun adakalanya dia terpaksa berlawan dengan Lang Merah, tapi atas nama hubungan sedarah,  mereka akhirnya berdamai. Malah Saim tahu, kekadang Lang Merah memejamkan matanya bila melihat perbuatan Saim merosakkan ramuan sihir. Kerana itu Saim sangat menghormati Lang Merah, dia rasa terhutang budi dan nyawa. Sangat-sangat memahami dan mengerti akan pendirian Saim yang telah berubah arah ini. Bagi Saim cukup-cukuplah penderitaan yang dititipkan kepada Khatijah Yong, apalagi lah yang mereka hendak, jika hendakkan  anak lelaki mereka yang juga suami Khatijah Yong, rasanya mereka telah pun memilikinya semula, Yusuf Mahzan telah lupa jalan untuk pulang ke rumah kampung ini! Malah pulangnya kerana terpaksa! Atas dasar kasihan dan rasa bersalah kepada Khatijah Yong yang masih lagi bersisa dihati Yusuf Mahzan, itu sahaja.  Saim tahu itu! Tapi iyelah, makhluk bernama manusia ini mana ada perkataan puas! Selagi manusia yang di dendam itu tidak hancur selagi itulah bermacam cara dan kaedah akan digunakan! Dan kerana itu, Saim telah berjanji selagi kudratnya kuat, dia akan melindungi dan melawan apa sahaja bencana yang akan dititipkan kepada Khatijah Yong dan Naurah Hana! Itu janjinya pada diri sendiri.
Helaan nafas berat Saim lepaskan, dan pandangan matanya jatuh kepada Ngah Siah yang masuk ke bilik bagi mengejutkan Naurah Hana. Saim tahu, Ngah Siah juga seperti dia, hidup diselubungi rasa bersalah dan kesal, Saim sangat mengharapkan agar Ngah Siah kekal dan patuh dengan janji untuk tidak lagi menyakiti keluarga kecil yang terbuang ini.
Saim melihat tangan Ngah Siah lembut mengusap tubuh Naurah Hana, memanggil nama Naurah dengan lembut dan penuh kasih sayang. Sejuk hati Saim melihatnya. Tetapi, tiba-tiba pergerakan tangan Ngah Siah terhenti, Saim melihat pandangan mata Ngah Siah meliar ke sekitar bilik sebelum berlabuh di sudut Saim sedang berdiri. Mata Saim dan Ngah Siah bertembung pandang!
"Kau?!" Suara Ngah Siah tertahan-tahan. Mungkin bimbang didengari oleh Naurah Hana dan Khatijah Yong yang turut tertidur dalam pelukan anaknya itu. Saim sedar Ngah Siah telah melihatnya. Hijab yang melindungi diri Saim dari pandangan mata manusia kini telah tidak berkesan di mata Ngah Siah! Mungkin kerana perhubungan yang selama ini terjalin antara mereka, diseru dan datang membantu untuk membuat kerosakan!