Ahad, 13 September 2015

Bab 4 : Sapu Tangan Dari Saim

Perhitungan ! Itu kata hati Saim. Sudah lama dia bersabar dengan karenah mahluk Allah yang satu ini. Matanya tajam menyoroti susuk tubuh yang sedang terbongkok-bongkok menyelak helaian daun di belukar yang meliputi kebun getah Pak Teh ini. Tidak langsung menyedari yang pergerakan dia sedang di intai oleh Saim.
'Jumpa tak" satu suara menyapa menyebabkan mahluk itu menoleh. Tersengih-sengih si Jali bila Pojie menjegilkan biji matanya sambil mengurut-gurut dada. Terperanjat.
"Apahal lah kau ni. Sesuka hati aje nak menyergah?" marah Pojie.
"Aku dah cari kat belah sana. Tak de lah." Adu Jali.
"Belah sana?" Tunjuk Pojie
"Kat tepi sungai tu? Tanya Jali sekali lagi untuk kepastian.
"Abis tu kau tengok tangan aku hala ke mana?"
"Kau gila ke?"
"Apasal?" tanya Pojie dalam nada tak puashati bila Jali yang dikenali sebagai barua dia selama ini berani berkata dia gila.
"Kau tau tak tempat tu keras, bukan sedikit orang terkena sampuk bila masuk ke seberang parit kebun arwah ni hah" suara Jali tetiba perlahan. Dan macam takut-takut sahaja rupanya.
Pojie mengerutkan kening. Bukan dia tak pernah dengar, cerita keseraman yang menghantui penduduk kampung Desa Senduduk ni. Kawasan hutan bakau tepi sungai dan menjadi tanah rizab kerajaan bagi menjaga ekosistem sungai, tetapi dalam masa yang sama kawasan ini sangat-sangat digeruni. Tempat jin bertandang itu adalah gelaran yang diberikan oleh Pak Itam, pakar rujuk  pada mereka yang menghadapi masalah tersampuk.
"Kau ni, benda macam tu pun kau percaya iye." jerkah Pojie bengang.
"Aku tak sedap hati ler Pojie. Terasa ada benda yang memerhati" suara Jali bertambah perlahan. Dan dari ekor mata Pojie melihat Jali meraut bulu roma ditangan. Pojie juga terdiam, dia juga  terasa ada yang memerhati, tetapi bila diteliti, dia tidak nampak apa atau sesiapa. Sesekali hidungnya menghidu bau wangi yang lalu dibawa angin. Seram sejuk tubuhnya.
'Balik jom Pojie." pujuk Jali lagi
"Aku cari Naurah ler"
"Aku tahu!" tinggi suara Jali
"Jangan-jangan dia dah sampai ke sekolah kot" soal Jali memprovok Pojie.
"Merepek kau, laluan mana dia ikut. Kita tadi berdiri kat satu-satunya jalan pintas menghala ke sekolah kan?' soal Pojie lagi
"Dia terbang?" Pantas mata Pojie memandang Jali. Aku lepuk juga Jali ni karang. Getus hati Pojie.
"Betul ke yang engkau nampak tu Naurah?" soal Jali lagi.
Aku tahu lah, Aku dah lama mengendap laluan dia selama dia cuba mengelak dari aku ni hah!" kata Pojie dengan nada tegas.
"Kita balik dulu, nanti tengahari kita tunggu dia kat sini. Aku pun tak sabar nak kendurikan budak Naurah tu" suara Jali kedengaran ceria memberikan cadangan dan dengan cepatnya Pojie menganggukkan kepala.
Hati Saim terasa sakit. Sangat sakit hingga dia terasa ngilu pada dadanya. Helaan nafasnya menjadi tidak teratur. Tangannya digenggam dan kelihatan urat-urat hijau timbul dipermukaan. Ingin sahaja dia menghalakan tenaganya ke arah dahan pokok getah yang berada diatas kepala manusia berdua itu. Belum sempat dia bertindak, satu tangan kasar memegang bahunya. Pantas dia menoleh. Sesusuk tubuh lelaki yang hampir separuh usianya sedang memandang ke arah dia sambil tersenyum. Perlahan-lahan kepala lelaki tu digelengkan ke kiri dan ke kanan. Lang Merah, itu nama lelaki yang sekarang ni sedang sama-sama memandang ke arah manusia berdua itu. Mujur ada hijab yang melindungi mereka dari dilihat oleh mata manusia. 
"Sabar anak muda." kata Lang Merah perlahan.
"Dengan sabar kita akan beroleh kemenangan" ulasnya lagi.
"Hati aku sakit pak"
"Aku tahu. Tapi kau harus sabar. Dan ada perkara yang kau perlu ingat, menyakiti manusia itu yang telah di iktiraf oleh TuhanMu sebagai khalifah dimuka bumi ni, bermakna engkau sedang melanggar peraturan alam yang telah lama ujud." mata Saim pantas memandang muka Lang Merah.
"Sama juga jika kau jatuh cinta dengan bangsa manusia" segaris senyuman sinis terpamer di wajah Lang Merah.
"Kita tidak harus mendedahkan diri kita kepada bangsa manusia ini. Biarlah mereka mengetahui bahawa dunia ini turut dikongsi dengan mahkluk lain. Tetapi pengetahuan itu setakat hanya melalui Al Quran dari TuhanMu" ulasnya perlahan. Saim terdiam, Dia tahu itu, ia benar, dia mahluk yang dijadikan dari api, Jin atau terkenal dikalangan masyarakat melayu dengan nama Bunian.
Telah lama mereka menetap di sini. Beribu-ribu tahun, sehinggalah hutan tebal ini diteroka dan menjadi penempatan mahluk manusia, pesat dengan pembangunan, sebagai bangsa bunian, mereka beralah kerana akur dengan pegangan agama Muhammad yang menyatakan bangsa manusia adalah khalifah dimuka bumi ini.
Dan selama 3000 tahun dia hidup dimuka bumi ini, Saim mampu menghindar dari bertembung dengan manusia. Dia tenang di dalam lingkungan hijab, memerhatikan tingkah laku manusia yang kekadang menjengkelkan dan adakalanya begitu menakutkan! Dia membiarkan sahaja perbuatan dan kerosakan yang dilakukan oleh manusia, tidak pernah memperdulikan tingkah-tingkah mereka yang adakalanya di luar norma kebiasaan. Sehinggalah 20 tahun lalu, prinsip hidup yang selama ini dipegang kukuh lerai satu persatu, terutama saat dia berdepan dengan Naurah Hana.
Saim jadi tegar, memerhati dan cuba melindungi Naurah Hana yang polos dan suci. Melihat kesengsaraan yang telah dibuat kepada Khadijah Long, simpatinya mencurah, rasa bersalah begitu menggunung. Kerana itu dia berusaha melindungi Naurah Hana saat menyaksikan kelahiran bayi itu, hasil cinta dari Khadijah Long dan Yusuf Mahzan.
Saim mengeluh, berat dan dalam bunyinya.
"Ingat Saim, jangan berani bertindak di luar norma kebiasaan kita. Engkau pasti binasa! Kerna engkau tidak tahu apa yang manusia itu bisa buat jika kehidupan mereka kita cerobohi." tutur Lang Merah lembut tetapi tegas.
"Aku tidak mau kehilangan engkau, seorang sahabat yang telah aku anggap sebagai adikku sendiri, walau kita berlainan pegangan" perlahan Lang Merah menoleh padanya sambil tersenyum. Sinis.
'Percayalah Saim, tiada yang lebih berat bagi ku kecuali diarahkan untuk memusnahkan engkau. Oleh itu belajarlah menghindarkan dirimu dari mendampingi manusia apalagi jatuh cinta pada Naurah Hana." Saim tersentap. Hatinya bergetar. Pantas matanya memandang ke wajah Lang Merah.
"Kau tahu?' Angguk
"Siapa lagi yang sedar akan hal ini?" soalnya sedikit bimbang.
"Pak Tua?"Ada gelengan dari Lang Merah. Saim mengeluh, dia sedar jika hal ini telah dibawa ke pendengaran Pak Tua, bererti dia akan diminta membuat pilihan. Sesuatu yang dia cuba elakkan. Pak Tua atau sebenarnya Penghulu Bunian sangat tegas dalam hal ini. Melarang sebarang perhubungan yang terjalin antara dunia manusia dan bunian. Ia akan melanggar batas dan norma kehidupan. Itu yang selalu Pak Tua laungkan. Dan Saim tahu yang dia sedang melawan hukum yang telah lama puak mereka pegang.
"Jangan ikutkan kata hati anak muda" bisik lang Merah perlahan ke telinga Saim sebelum dia hilang meninggalkan kabus nipis di sekeliling Saim.