Sabtu, 29 Ogos 2015

Bab 2 : Sapu Tangan Dari Saim

Cuaca petang ini sangat panas, debu berterbangan naik ke udara bila jalan tanah merah di depan rumah ini dilalui kenderaan. Naurah memandang ke arah jalanraya. Debu berterbangan tidak sekalipun menarik perhatiannya. Hatinya rusuh.. sudah hampir rembang petang tapi bapak masih tidak pulang. Hari ini adalah hari giliran bapak ke rumah kayu ini. Hari ini adalah hari dimana Naurah rasa sangat-sangat bahagia, keluarganya jadi lengkap, ada bapak, ada ibu, ada dia dan ada Ngah Siah yang dipanggil nenek walaupun cuma orang gaji sahaja tetapi telah dianggap sebagai ahli keluarganya sendiri
"Hana, Hana" 
Terdengar suara sayup-sayup memanggil namanya. Langkah kaki dihalakan ke arah suara itu. Naurah tersenyum memandang empunya suara.
"Ibu nak minum?" sapanya lembut. Belas rasa hati melihat keadaan ibu. Semenjak ibu diserang sakit lumpuh seluruh badan selepas kelahiran dia, ibu hanya mampu terbaring sahaja. Untuk menguruskan diri sendiri pun ibu tak mampu, apalagi menguruskan rumahtangga.
Naurah melihat ibu mengelengkan kepala. Muka dan tubuh ibu basah dek peluh. Pantas tangan Naurah mengambil tuala basah yang diletakkan ditepi  katil dan digunakan untuk mengelap tubuh ibu. 
"Bapak Hana dah balik nak?" soal ibu perlahan. Naurah hanya mampu menggelengkan kepala. Tak sampai hati untuk bersuara lebih-lebih lagi bila dia memandang ke dalam mata ibu. Pandangan mata ibu sarat dengan kerinduan pada lelaki yang dipanggil bapak oleh Naurah.
"Kejap lagi sampai ler Jah! suara nenek menjawab lembut terdengar di belakang Naurah. Senyuman lebar cuba Ngah Siah pamerkan tapi Naurah tahu senyuman itu cuba untuk menyembunyi rasa resah di dada Ngah Siah.
"Janganlah kau bimbang Jah, Cintanya pada kau kekal utuh. Rindunya menggunung hanya pada kau aje Jah." lembut suara Ngah Siah memujuk sebelum punggungnya dilabuhkan di birai katil. Ibu tersenyum dan akhirnya memejamkan mata. Tidur
Perlahan-lahan Naurah segera berlalu ke bilik. Langkah kakinya teratur tapi hatinya sarat dengan pertanyaan, Benarkan cinta bapak pada ibu sangat utuh? Kalau benar, kenapa dia ada ibu tiri, ada adik-adik tiri yang seramai 4 orang. Kalau rindu bapak begitu menggunung pada ibu, kenapa mereka kini tercampak hidup bertiga sahaja di dalam kebun getah, dihujung kampung. Sedangkan keluarga tirinya hidup di banglo besar di tengah kampung. Mewah dan meriah malah mereka sangat-sangat dihormati oleh orang kampung. Lebih-lebih lagi kerana bapaknya adalah Pengurus Kilang Sawit tempat orang-orang kampung menghantar hasil tuaian sawit yang dipunggut saban bulan.
Jiwa remaja Naurah memberontak. Benar, dia sangat rindukan bapak. Perlahan-lahan Naurah beristighfar. Bukankah ini takdir dariNya. Kenapa mesti kita menolak takdir. Mempertikaikan takdir  yang tersurat samalah seperti kita tidak menerima qada dan qadar, Sedangkan ini telah termaktub dalam Rukun Iman, masih terngaing-ngaing suara Ustazah Rohana ditelinga Naurah. Benar.. ini takdir.
"Sebab cinta mereka tidak direstui ler!" masih terdengar di telinga Naurah suara Murnee ketika dia bercerita kerinduan dan derita hatinya melihat kebahagiaan Zara Alia, adik tirinya memaut tangan bapak yang ketika itu datang menjemput Zara Alia pulang dari sekolah. Sedikitpun bapak tidak memandang wajah Naurah, Pilu rasanya hati Naurah. Kolam matanya bertakung air, hampir-hampir melimpah keluar.
"Mana kau tau Murnee?" soal Naurah, sangat-sangat tertarik dengan cerita yang pertama kali dia dengar.
"Aku dengar emak aku cerita dengan abah aku semalam." Kening Naurah terangkat. Kenapa pulak dah timbul cerita keluarga dia ni?
"Kitaorang simpati dengan nasib kau ler, tapi tak boleh buat apa bila dapat amaran dari nenek kau. Jangan masuk campur!" Perlahan aje suara Murnee.
"Iye, aku faham" senyum tawar Naurah pamerkan. Nenek! Walau ada depan mata, tidak pernah sekalipun Naurah melihat nenek tersenyum bila melihat dia. Nenek yang jugak ibu kepada bapak lebih banyak mencebikkan bibir malah kerapkali dia melihat nenek memalingkan mukanya ketempat lain jika terserempak dengan Naurah. Jijik benar nenek untuk memandang dia seolah-olah dia ni macam najis mutawassitah pulak.
'Aku akan pastikan jika suatu masa nanti aku jatuh cinta, Cinta aku direstui oleh keluarga. Aku tidak mahu menderita kerana cinta seperti cerita cinta bapak dan ibu. itu tekad Naurah. Serentak  itu, hidung Naurah segera menangkap bauan yang lembut dan manis. Sama seperti bauan pada lelaki bernama Saim yang ditemu pagi tadi. Tiba-tiba Naurah teringat pada pertemuan pertama dia dengan lelaki itu. Seraut wajah tampan yang menenangkan! Dan hati Naurah menjadi berdebar-debar. Langkah kaki dihalakan ke tingkap. Matanya liar memandang keliling. Tiada apa yang kelihatan kecuali suasana gelap menandakan rembang petang telah tiba ke penghujungnya. Sayup-sayup suara muazzin melaungkan azan kedengaran ditelinga Naurah tanda waktu maghrib telah tiba.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan