Ahad, 30 Ogos 2015

Bab 3 : Sapu Tangan Dari Saim

Naurah melajukan langkah kakinya. Kepantasan kaki dan akalnya berjalan seiring. Dimana ada lorong dan denai yang boleh dilalui bagi melarikan diri yang Naurah ketahui, maka sibuklah dia menyelitkan diri. Jauh disudut hati doa pelindung diri dibaca sepanjang kaki melangkah. Terpikir juga di hati Naurah, kalaulah dia boleh menghilangkan diri, dah lama dia menjadi halimunan. Tapi itu cuma cerita yang selalu ditonton di televisyen. Mana ada dalam alam realiti. Dia akur dan kerana itulah selagi dia boleh  elak, akan dia elakkan. Itu janji dia pada diri. Dan  janji itu terpatri kuat dihati kerana tadi, ketika dia dalam perjalanan ke sekolah, dia bertembung dengan seseorang yang sangat-sangat dia cuba jauhkan diri saban pagi, yang tetiba aje memunculkan diri dengan senyum lebar dihujung simpang jalan masuk ke rumahnya.
Pojie atau nama sebenarnya Fauzi. Tiada yang kurang pada lelaki ini. Wajahnya kacak, ada rupa, ada gaya dan ada harta,  lebih-lebih lagi status anak saudara kepada bapak. Tapi Naurah benci Pojie. Meluat dan geram dengan perangai Pojie yang kurang adab dan kurang ajar. Diberi keizinan oleh bapak untuk menghantar dan menjemput Naurah ke sekolah saban hari tetapi Pojie cuba mengambil kesempatan. Itu yang Naurah benci. Sangat benci. Bapak berikan kereta kepada Pojie bagi kemudahan untuk Pojie menjemput Naurah, tetapi Pojie lebih rela menggunakan Ninja Kawasaki yang tonggek tempat duduknya. Kemain suka Pojie melihat betapa cuaknya Naurah, kelam kabut menjaga diri agar tidak bersentuhan dengan tubuhnya, kerana itu Pojie menjadi semakin bertambah galak, rajin dia membrek motor secara  tetiba bagi membolehkan tubuh Naurah bersentuhan dengannya.  Gelak ketawa mengejek bila menyedari ketidakmampuan Naurah untuk mengelak dari perbuatan keji Pojie. Malah kebencian Naurah tambah mencanak naik bila melihat keberanian Pojie membawa Naurah ke "port" dia melepak bersama-sama kawan-kawan yang terletak di dalam kebun getah milik bapak bila tiba saat sepatutnya Naurah dihantar pulang dari sekolah. Pucat muka Naurah bila dia dikelilingi oleh rakan -rakan Pojie yang entah apa-apa. Khayal semacam. Terasa nyawa dan maruahnya di hujung tanduk. Airmata Naurah menjadi murah saat dia merayu kepada Pojie agar dia dihantar pulang. Tetapi airmata itu menjadi tidak berharga bila rayuan Naurah tidak dipedulikan. Airmata dan rayuan Naurah hanya disambut dengan ketawa mengejek dari Pojie dan kawan-kawan dia. Mujur ketika itu angin tetiba bertiup kencang dan menyebabkan pondok "port" Pojie ranap ditimpa dahan pokok getah yang patah. Dan Naurah sangat-sangat bersyukur  kejadian angin kencang itu berlaku.
Tetapi Naurah sedar, walau segunung bencinya pada Pojie, benci lagi keluarga bapak kepadanya. Kerana itu Naurah kalah, kalah dalam setiap aduan yang cuba dia sampaikan pada bapak bila ada kesempatan. Walau berjurai airmatanya membasahi pipi ketika bercerita betapa terganggunya dia dengan perangai tak semengah Pojie, reaksi bapak hanyalah diam, paling kuat tindakan bapak ialah mengeluh. Naurah ingin sangat bapak mengerti betapa dia takut, dia ngeri bila mengenangkan yang dia kini adalah ibarat sekuntum bunga yang mewangi.. dan wangiannya itu sedang bertebaran dan mula menarik perhatian kumbang yang menjengkelkan. Naurah tidak mahu itu. Dia merasa terganggu dan dia mohon perlindungan dari satu-satunya lelaki yang dia percayai dan sayangi. Lelaki itu adalah bapak. Malangnya bapak hanya diam malah adakalanya memandang ke arahnya dengan pandangan tidak percaya. Itulah yang Naurah rasa dan sedar.
Entah apa cerita yang buruk tentang dia yang telah sampai ke telinga bapak, Naurah tidak tahu. Apa yang Naurah tahu, pasti sebuah cerita buruk sehingga cerita sebenar yang Naurah sampaikan  telah disambut secara acuh tak acuh sahaja oleh bapak. Hampa sungguh rasa hati Naurah.
Kerana itulah, Naurah akhirnya membuat keputusan sendiri, bertekad untuk hanya berjalan kaki ke sekolah saban hari, walau jauh dan penat kakinya, Naurah rela asalkan kehormatan diri dia terjaga. Dari tidak tahu jalan pintas dan cepat ke sekolah, akhirnya Naurah jadi pandai, itupun berkat tunjuk ajar Murnee dan adik-adik dia. Nasib baik. Naurah sangat  berterima kasih pada Murnee, memang ada gaya menjadi seorang cikgu di masa depan. Cikgu Murnee. Tersenyum sorang sorang Naurah bila teringat pada gelaran "Cikgu" yang dilekatkan pada pangkal nama Murnee. Sesuai sangat ler.. bisiknya sendirian
Tapi debaran dihati kembali memuncak bila dia mendengar bunyi enjin motorsikal Pojie. Pasti Pojie sedang mencari dan mengekori Naurah.
"Naurah"
"Naurah" suara Pojie kedengaran memanggil namanya. Naurah hanya mendiamkan diri. Dia tak mampu untuk bergerak lagi. Kebun getah Pak Teh ini, walau agak semak samun, tapi dengan baju sekolah berwarna putih yang dia pakai, ini hanya memudahkan Naurah dikesan oleh mata Pojie.
"Naurah, keluarlah, kalau aku jumpa kau, siap kau Naurah" panggilah Pojie jadi bertambah keras. Naurah semakin gementar. Dia hanya mampu menggigit bibir menahan rasa takut.
"Jumpa tak?" terdengar satu suara asing. Naurah bertambah takut. Dia tahu itu suara Jali, rakan sekutu Pojie yang Naurah kenal kerana selalu melepak dengan Pojie di simpang jalan. Matilah aku.. Ya Allah, bantu aku Ya Allah.. tak henti-henti Naurah membisikkan doa. Tetiba Naurah tersentak, hidungnya menangkap satu bauan harum dan manis. Naurah kenal bau itu. Bau itu datang dari lelaki bernama Saim.  Dalam rasa ketakutan terhadap Pojie, Naurah mengharapkan satu keajaiban. Dan rasanya permintaan Naurah tertunai.
Tak berkedip mata Naurah bila menyedari Saim berada disebelah dia. Tidak terlalu rapat berjarak setengah langkah. Lesung pipitnya terserlah bila Saim tersenyum.
"Assalamualaikum adik" Naurah hanya mampu menjawab salam tu di dalam hati. Terketar-ketar bibirnya untuk bercakap namun dia tak mampu untuk bersuara. Saim segera meletakkan tangan ke bibirnya. Tanda menyuruh Naurah mendiamkan diri.
"Mari abang tunjukkan jalan" Naurah angguk dan matanya segera menangkap sesuatu yang dihulurkan oleh Saim. Sapu tangan! Terpinga-pinga Naurah melihat tindakan Saim.
"Pegang dik sapu tangan ini. Kita akan berjalan bersama dan abang akan hantar adik ke sekolah dengan selamat" Tanpa ragu Naurah terus menyambut huluran tangan Saim. Sapu tangan Saim segera dipegang oleh Naurah sementara sebelah satu lagi  sapu tangan itu digenggam Saim. Mereka segera berjalan keluar dari tempat persembunyian Naurah tadi.
Rasa cuak dihati kembali tinggi ketika mereka melintasi Pojie dan Jali yang kelihatan sedang berbincang untuk mencari Naurah. Jelas dipendengaran Naurah suara Pojie yang marah-marah kerana gagal menemui dia. Dan timbul rasa pelik di hati. Eh? Tak nampakkah Pojie yang ketika ini dia sedang melewati tempat perbincangan mereka? Telah menjadi halimunankah dirinya. Macam tak percaya yang doa agar dia mampu mengghaibkan diri telah makbul. Syukur Ya Allah. Naurah memandang ke arah Pojie sebelum matanya beralih ke arah Saim.
Lelaki itu hanya memandang ke depan, Roman mukanya manis dan kacak, walau bibirnya tidak tersenyum tapi riak wajah seolah-olah sedang tersenyum. Dan Naurah mula menyedari.. suasana sekeliling mereka senyap dan sunyi. Hanya desiran angin sahaja kedengaran. Masa seakan-akan telah terhenti.Belum sempat Naurah bertanya, Saim menghentikan langkah kakinya. Tangan yang mengenggam sapu tangan itu segera Saim lepaskan. Perlahan-lahan Saim berdiri menghadap Naurah. Melihat Naurah yang terpinga-pinga dan tangannya masih memeggang sapu tangan Saim,  dia segera tersenyum.
" Simpan iye dik sapu tangan tu" lembut suara Saim. Naurah menggelengkan kepalanya.
"Terima kasih abang sebab tolong saya." tangan Naurah segera menghulurkan sapu tangan tu kepada Saim
"Kalau adik menghargai pertolongan abang, simpan ler sapu tangan tu, ia akan menjadi penghubung diantara kita" Naurah tak faham, tapi melihat riak wajah Saim yang sedikit keruh, dia tak sampai hati menolak pemberian Saim, lelaki yang telah dua kali menolong dia.
"Baiklah, terima kasih abang"
"Nama saya Naurah Hana" Saim hanya menganggukkan kepalanya sambil dia tersenyum. Aduh, manisnya senyuman Saim. Naurah ingin bertanya. Banyak persoalan timbul berkenaan dengan lelaki di hadapannya ini.
"Percepatkan langkah kakimu dik. Loceng sekolah hampir berbunyi tu"  Tersentak Naurah dan barulah dia menyedari yang dia kini berada di depan pintu pagar sekolah.
"Lain kali ler kita berborak iye dik, Abang akan jawab segala soalan adik bila tiba masanya. Dan dengan izin dari Allah" Segaris senyum nipis Saim berikan dan seperti semalam, saat Naurah ingin melihat Saim pergi, dia disergah oleh suara Murnee. Naurah geram dan hampa, tapi bila teringatkan sapu tangan Saim yang kini dalam genggaman dia, hati Naurah kembali berbunga. Cepat-cepat sapu tangan itu di simpan di dalam kocek baju. Dan tiba-tiba Naurah rasa selamat.Sangat selamat. Dia terasa dilindungi oleh seorang lelaki selain bapak. Ya Allah, terima kasih. hanya itu yang mampu Naurah lafazkan. Rasa bersyukur.


Nota Kecik...
Selamat Menyambut Merdeka Malaysia..
Yang ke 58 Tahun..
Semoga Malaysia aman dan rakyatnya hidup sejahtera walau berbilang bangsa...
Semoga semua orang cukup makan dan pakai..
Dan sentiasa bersyukur dan berdoa untuk kesejahteraan anak cucu cicit di masa depan..
Bina Malaysia yang Sejahtera untuk masa depan.. waahh emo ler pulak!
huhuhu

Sabtu, 29 Ogos 2015

Bab 2 : Sapu Tangan Dari Saim

Cuaca petang ini sangat panas, debu berterbangan naik ke udara bila jalan tanah merah di depan rumah ini dilalui kenderaan. Naurah memandang ke arah jalanraya. Debu berterbangan tidak sekalipun menarik perhatiannya. Hatinya rusuh.. sudah hampir rembang petang tapi bapak masih tidak pulang. Hari ini adalah hari giliran bapak ke rumah kayu ini. Hari ini adalah hari dimana Naurah rasa sangat-sangat bahagia, keluarganya jadi lengkap, ada bapak, ada ibu, ada dia dan ada Ngah Siah yang dipanggil nenek walaupun cuma orang gaji sahaja tetapi telah dianggap sebagai ahli keluarganya sendiri
"Hana, Hana" 
Terdengar suara sayup-sayup memanggil namanya. Langkah kaki dihalakan ke arah suara itu. Naurah tersenyum memandang empunya suara.
"Ibu nak minum?" sapanya lembut. Belas rasa hati melihat keadaan ibu. Semenjak ibu diserang sakit lumpuh seluruh badan selepas kelahiran dia, ibu hanya mampu terbaring sahaja. Untuk menguruskan diri sendiri pun ibu tak mampu, apalagi menguruskan rumahtangga.
Naurah melihat ibu mengelengkan kepala. Muka dan tubuh ibu basah dek peluh. Pantas tangan Naurah mengambil tuala basah yang diletakkan ditepi  katil dan digunakan untuk mengelap tubuh ibu. 
"Bapak Hana dah balik nak?" soal ibu perlahan. Naurah hanya mampu menggelengkan kepala. Tak sampai hati untuk bersuara lebih-lebih lagi bila dia memandang ke dalam mata ibu. Pandangan mata ibu sarat dengan kerinduan pada lelaki yang dipanggil bapak oleh Naurah.
"Kejap lagi sampai ler Jah! suara nenek menjawab lembut terdengar di belakang Naurah. Senyuman lebar cuba Ngah Siah pamerkan tapi Naurah tahu senyuman itu cuba untuk menyembunyi rasa resah di dada Ngah Siah.
"Janganlah kau bimbang Jah, Cintanya pada kau kekal utuh. Rindunya menggunung hanya pada kau aje Jah." lembut suara Ngah Siah memujuk sebelum punggungnya dilabuhkan di birai katil. Ibu tersenyum dan akhirnya memejamkan mata. Tidur
Perlahan-lahan Naurah segera berlalu ke bilik. Langkah kakinya teratur tapi hatinya sarat dengan pertanyaan, Benarkan cinta bapak pada ibu sangat utuh? Kalau benar, kenapa dia ada ibu tiri, ada adik-adik tiri yang seramai 4 orang. Kalau rindu bapak begitu menggunung pada ibu, kenapa mereka kini tercampak hidup bertiga sahaja di dalam kebun getah, dihujung kampung. Sedangkan keluarga tirinya hidup di banglo besar di tengah kampung. Mewah dan meriah malah mereka sangat-sangat dihormati oleh orang kampung. Lebih-lebih lagi kerana bapaknya adalah Pengurus Kilang Sawit tempat orang-orang kampung menghantar hasil tuaian sawit yang dipunggut saban bulan.
Jiwa remaja Naurah memberontak. Benar, dia sangat rindukan bapak. Perlahan-lahan Naurah beristighfar. Bukankah ini takdir dariNya. Kenapa mesti kita menolak takdir. Mempertikaikan takdir  yang tersurat samalah seperti kita tidak menerima qada dan qadar, Sedangkan ini telah termaktub dalam Rukun Iman, masih terngaing-ngaing suara Ustazah Rohana ditelinga Naurah. Benar.. ini takdir.
"Sebab cinta mereka tidak direstui ler!" masih terdengar di telinga Naurah suara Murnee ketika dia bercerita kerinduan dan derita hatinya melihat kebahagiaan Zara Alia, adik tirinya memaut tangan bapak yang ketika itu datang menjemput Zara Alia pulang dari sekolah. Sedikitpun bapak tidak memandang wajah Naurah, Pilu rasanya hati Naurah. Kolam matanya bertakung air, hampir-hampir melimpah keluar.
"Mana kau tau Murnee?" soal Naurah, sangat-sangat tertarik dengan cerita yang pertama kali dia dengar.
"Aku dengar emak aku cerita dengan abah aku semalam." Kening Naurah terangkat. Kenapa pulak dah timbul cerita keluarga dia ni?
"Kitaorang simpati dengan nasib kau ler, tapi tak boleh buat apa bila dapat amaran dari nenek kau. Jangan masuk campur!" Perlahan aje suara Murnee.
"Iye, aku faham" senyum tawar Naurah pamerkan. Nenek! Walau ada depan mata, tidak pernah sekalipun Naurah melihat nenek tersenyum bila melihat dia. Nenek yang jugak ibu kepada bapak lebih banyak mencebikkan bibir malah kerapkali dia melihat nenek memalingkan mukanya ketempat lain jika terserempak dengan Naurah. Jijik benar nenek untuk memandang dia seolah-olah dia ni macam najis mutawassitah pulak.
'Aku akan pastikan jika suatu masa nanti aku jatuh cinta, Cinta aku direstui oleh keluarga. Aku tidak mahu menderita kerana cinta seperti cerita cinta bapak dan ibu. itu tekad Naurah. Serentak  itu, hidung Naurah segera menangkap bauan yang lembut dan manis. Sama seperti bauan pada lelaki bernama Saim yang ditemu pagi tadi. Tiba-tiba Naurah teringat pada pertemuan pertama dia dengan lelaki itu. Seraut wajah tampan yang menenangkan! Dan hati Naurah menjadi berdebar-debar. Langkah kaki dihalakan ke tingkap. Matanya liar memandang keliling. Tiada apa yang kelihatan kecuali suasana gelap menandakan rembang petang telah tiba ke penghujungnya. Sayup-sayup suara muazzin melaungkan azan kedengaran ditelinga Naurah tanda waktu maghrib telah tiba.

Rabu, 12 Ogos 2015

Bab 1 : Sapu tangan Dari Saim

Naurah melajukan langkah kakinya..  matanya meligas memandang kiri dan kanan. Ada rasa cuak dihati.. Ya Allah.. selamatkanlah perjalanan aku ini Ya Allah. Pepagi begini.. dalam suasana pagi yang masih lagi kelam dan embun pagi masih lagi membasahi daun.. tiada sesiapa yang boleh diharapkan untuk membantunya jika ada musibah mendatang.
Demi ilmu.. demi ilmu.. hanya itulah penguat hatinya. Berjalan kaki ke sekolah yang jaraknya sejauh 5 km dari rumah.. menyebabkan Naurah harus cepat.. dia tahu hari ini dia dah terlewat. Sepagi tadi dia sibuk, memandikan ibu yang terlantar sakit.. dan kemudian membersihkan pula najis ibu  banyak menuntut masanya. Walau ada Ngah Siah, pembantu yang digaji oleh bapak untuk menguruskan ibu, Naurah tetap dengan rela hati membantu menguruskan ibu. Naurah faham, kudrat seorang tua seperti Ngah Siah, tak terdaya untuk dia nak mengangkat tubuh badan ibu jika tidak Naurah yang membantu.
Sudahnya dia terlewat lagi.. dan kerana itu Naurah tiada pilihan.. dia akhirnya mengikut jalan pintas kebun Pak Teh.. Kebun getah yang telah lama ditinggalkan dan tidak lagi dikerjakan selepas Pak Teh meninggal dunia. Sudahnya kawasan kebun dipenuhi semak samun. Apa lagi pilihan yang Naurah ada.. inilah satu-satunya jalan pintas paling cepat. Dibuang rasa takut dihati.
Laju kakinya melangkah, seakan berlari pun ia juga. Tiba di sempadan kebun. Naurah terpempan. Ya Allah.. terkejut dia. Berdiri dalam jarak 10 kaki di hadapannya, diatas titi kecil di tepi sempadan kebun dengan tanah rizab tepi sungai milik kerajaan, sesusuk tubuh tegap seorang lelaki dengan seraut wajah tampan yang memandang wajah Naurah dengan mata yang galak  tetapi pandangan yang redup. 
"Nak gi sekolah iye dik?" soal lelaki itu. Tanpa sedar Naurah menggangguk. 
"Mari, abang temankan. Boleh tak?" soalnya lagi seperti meminta izin. 
"Boleh. Terima kasih abang" ringan aje mulut Naurah menjawab. Eh apasal ni.. selalunya dia susah nak bercakap lebih-lebih lagi dengan orang yang tidak dia kenali. Pesanan bapak dan Ngah Siah agar pandai menjaga diri sentiasa tersemat dalam fikiran dia.
Naurah melihat ada segaris senyuman lebar di bibir lelaki itu. Sepasang lesung pipit jelas kelihatan di wajahnya bila tersenyum. Ya Allah, tampannya rupa paras mahluk Allah dihadapan ku ni, hati Naurah berbisik. Siapa dia ni.. manusia ke hantu. kalau manusia mesti ada nama. Anak siapa? Kenapa aku tak pernah melihat dia ni? Timbul pertanyaan dihatinya. Bertambah tertanya-tanya bila hidungnya menangkap satu bauan wangi yang belum pernah dia cium. Harum dan manis baunya. Pantas tangannya mengosok-gosok hidung yang mancung dan kecil itu.
Lelaki itu tersenyum sambil menggeleng- gelengkan kepalanya. Tangannya diangkat sebagai tanda mengarahkan Naurah berjalan dahulu.
Pantas kaki Naurah melangkah, dari ekor mata dia melihat lelaki ini berada dibelakang dia. Mengekor tidak terlalu rapat.. tiga langkah dibelakangnya. Mata  Naurah melirik jam tangan hadiah bapak sempena dia lulus periksa PMR dengan cemerlang. Alamak, lagi 5 minit. Habis ler aku. Tak sempat ni, jauh lagi tu. Kejap lagi pintu pagar sekolah akan ditutup. Dia dah jemu mengadap Cikgu Munir, guru displin yang garangnya ya ampun, yang selalu menjerkahnya hanya kerana nama dia aje yang naik sebab lewat datang ke sekolah. Ada rasa sebak dihati.
'Dah sampai dik" Eh, pantas Naurah mengangkat muka. Terkejut dia, di hadapan dia adalah pagar sekolah. Pantas matanya memandang wajah lelaki itu.  Masih lagi tersenyum manis. Terpinga-pinga Naurah. 
"Nama abang, Saim.. abang penduduk asal kampung dekat-dekat sini." katanya sambil tersenyum.
"Belajar rajin-rajin iye dik"  hanya anggukan yang mampu Naurah berikan. Dia masih bingung
"Abang balik dulu" kata lelaki bernama Saim itu.
" Woii, Naurah, cepat woii." jerkahan suara seseorang jelas dipendengarannya. Pantas Naurah menoleh ke arah suara itu dan kelihatan kawan baiknya, satu-satunya kawan baik dia, Murnee sedang bercekak pinggang di depan pagar sekolah. Dah macam jaga jalan dah rupanya.
"Mimpi apa kau awal ni?" soal Murnee teruja. Dan soalan Murnee membuat Naurah tersentak, Cepat-cepat dia mengalihkan pandangan ke sebelah kanan, tempat lelaki bernama Saim itu berdiri. Terkejut dia, Dah tak ada? Mana ni? Matanya segera meliar ke seberang jalan. Naurah menoleh ke kiri dan kanan.
"Kau cari apa?" soal Murnee yang tetiba dah ada di sebelah dia. Mata Murnee turut meligas ke kiri dan kanan. Tak tahu apa yang dicarinya. Aura seorang tukang kepoh mula kelihatan. Kepochi sungguh gayanya. 
" Tadi ada lelaki temankan aku"
"Lelaki?" soal Murnee sambil kening dia terangkat-angkat.
"Mana? Mana?" soalnya teruja
"Entah." hanya itu yang mampu Naurah lafazkan.
"Kau ngigau ke apa? Dari tadi kau sorang-sorang aje jalan macam ribut tau sampai aku ni pon kau hampir-hampir langgar" kata Murnee sambil kakinya pantas melangkah ke pintu masuk sekolah.
"Cepat lah Naurah, kau nak aku bagi nama kau kat Cikgu Munir ke? ugut Murnee.
"Iyelah, iyelah"
"Tahulah kau tu pengawas" rungut Naurah. 
"Tau tak pe" berlagak sungguh jawapan Murnee, tapi bagi Naurah yang telah lama mengenali Murnee sejak darjah satu, Tahu betapa baiknya hati Murnee. Jika hari  Murnee berjaga di hadapan pintu masuk sekolah, seberapa boleh dia mengelak dari mencatitkan nama Naurah jika Naurah terlewat. 
Naurah tersenyum manis, tapi jauh di sudut hati timbul berbagai persoalan tentang Saim. Naurah juga terasa ralat. Saim pergi tanpa sempat dia mengucapkan terima kasih. Perlahan-lahan Naurah melepaskan keluhan. Semoga kita jumpa lagi. Bisiknya sambil pantas kaki melangkah menuju ke kelas.
Dan di tepi tembok pintu pagar, sepasang mata sedang menyoroti langkah kaki Naurah. Saim hanya tersenyum. Iye Naurah.. kita pasti akan berjumpa lagi.

Prolog : Sapu Tangan Dari Saim

Prolog

"Lepaskan dia.. kalau kau sayang dia!" Dia menoleh pada yang empunya suara.. Kejam sungguh!
"Aku memang sayangkan dia.. cinta aku pada dia jauh tertanam di lubuk hati yang paling dalam!" kata-kata yang keluar dari bibir dia hanya mendapat cebikan dan senyuman yang penuh penghinaan.. Sinis.
" Kau bukan kaum kami.. kau tidak layak untuk duduk di sini.. Apalagi mencintai kaum kami" keras suara itu menjawab.. Mata dia menjadi bening.. Murahnya cinta dia.. terasa sungguh ketidakadilan dunia ini..
Apa salah dia.. hanya kerana cinta dia menjadi mahluk yang dihina..
"Pulanglah Saim.. kau tak layak berada di sini.."
"Pulang lah demi keselamatan kau dan Naurah!"
"Jika kau tak fikirkan nasib kau Saim.. fikir- fikirkan lah Naurah.. Kalau kau sayang dia.. kau tak akan menyakiti hati dia.. apalagi jasad dia.. Tengok betapa menderitanya dia!" Perlahan-lahan mata Saim melorot pada tubuh kaku di atas tanah. Mata sepet yang terpejam rapat.. hanya nafas aje yang turun naik menandakan masih bernyawa.. Naurah.. hanya itu aje yang mampu disebut..
Benar aku sayangkan Naurah.. sangat sayang.. terlalu sayang.. kerana itu aku akan pergi. Hanya lintasan itu yang terpancar di fikirannya.
Perlahan-lahan Saim mengundurkan diri.. dan jasadnya hilang terus dari pandangan mata orang kampung yang tekun memandangnya  dan ditangan masing-masing ada batang buluh kuning yang sama tajam dengan pandangan mata orang kampung.

Nota :
Ni satu idea giler dari aku.. Anggap ler cuma angan-angan dan inilah hasil dari berangan itu. Kalau rajin aku sambung iye

nina